nukilan sang saka biru
aku nak berhenti jd polis!!..Mungkin jutaan kali perkataan ini terbisik keluar dari hatiku. Setiap kali berhadapan dengan masalah, halangan, tohmahan, sepak terajang tugas yang membuatkan aku terjatuh berkali-kali dan tidak memungkinkan aku untuk berdiri lagi.
Pasti ayat ini akan muncul
Seperti yang aku khabarkan sebelum ini Polis bukan cita-citaku. Aku pun sebenarnya pelik bagaimana aku boleh menjalani latihan selama sembilan bulan yang sangat memeritkan. Pengalaman mana mungkin dapat aku lupakan sepanjang hidupku bergelar seorang Homosapiens(istilah sains untuk manusia ertinya haiwan peringkat tertinggi yang pandai berkata-kata: mengikut kata guru sainsku).
Dalam suasana yang tidak semua boleh menerimanya dengan normal. Di belasah dari segi mental dan fizikal. Orang gemuk boleh menjadi kurus. Orang kurus lagi jadi kurus. Orang Cina menjadi Melayu, Orang Melayu menjadi Orang India, Orang India pula aku tidak tahu bagaimana untuk mengatakannya.
Sesungguhnya itulah perbandingan selayaknya untuk kulit yang menghitam bahana pancaran matahari setiap hari. Pergi ke padang kawat berpeluh, pergi sukan berpeluh, pergi kelas berpeluh, pergi dewan makanpun berpeluh. Setiap hari berlari dan terus berlari.
"Tiada hari tanpa latihan". Itulah motonya.
Berbicara pasal moto pula baru aku teringat pada suatu pagi yang indah dan aman permai. Tarikhnya baru-baru ini. Ketika kali pertama aku on I.O selepas 2 tahun tidak membuka I.P(kertas siasatan). Selepas selesai taklimat kes yang aku buka pada malam sebelumnya. J telah meminta I.P ku.
'Tengok I.P kamu!' Aku menyerahkan tiga I.P yang telah aku buka pada malam sebelumnya.
J membelek isi kandungan folio. Dari minit sehingga rajah kasar dan sampai kepada I.P ketiga...
I.P ku pun melayang jatuh ke lantai! Aku bangun mengutip I.P ku dan duduk semula. Sebabnya I.P kes 506 kk yang aku buka tidak mempunyai minit. Kali ini aku tidak pula keluar dari bilik mesyuarat kerana J tidak menghalau ku. Kalaulah saja J menyebut perkatan keluar pasti aku dengan senang hati menghentak kaki keluar baris.
Aku duduk dan bersedia menerima kata-kata pedas..
Dan seperti biasalah aku akan menerima segunung makaian dan selautan cacian. Bla...Bla...Bla dan Bla... lagi. Amat menyakitkan.
Biar aku simpulkan kata makiannya. Slack!
'Aku bukan saja-saja mahu marah kamu. Kamu sendiri yang slack, betul tak?' J bertanya padaku
'Betul Tuan' aku hanya mengiyakan sahaja sambil mengangguk kepalaku
Bla...Bla...Pot...Pet...Pot...Pet....lagi.
'Ha kamu, apa moto Polis yang baru?' Dia bertanya lagi padaku
'Tak tahu Tuan' Dengan selambanya aku menjawab. Dalam keadaan otakku yang tepu dengan kata makian itu aku tidak dapat berfikir.
Tapi sebenarnya aku pun kurang pasti apa Moto Polis yang baru!
Polis jenis apa aku ini? Hahaha
Haruskah aku gelak pada diriku sendiri? Perkara ini membuktikan sesuatu. Aku memang tidak pernah ambil tahu. Dan itu menjadikan aku seorang Pegawai Polis yang tidak layak bergelar POLIS.
Jadi mengapakah harus aku terus memakai uniform ini?
Uniform satu paku yang sangat berat dengan tanggungjawab. Benar setiap kali aku melalui pondok pengawal pasti ada tabik hormat daripada anggota yang berkawal. Namun adakah itu satu kemegahan? Membolehkan kita mendabik dada berjalan di hadapan orang awam dan berkata pada diri sendiri, lihatlah aku seorang Pegawai Polis satu paku yang glamor.
Tidak!
Aku tidak pernah berfikir begitu. Malahan kerana satu paku yang terlekat di atas bahu inilah menjadikan orang yang hampir mati jiwanya. Hampir kepada sakit jiwa.
Semenjak aku lapor diri di daerah yang satu ini duniaku berputar 360 darjah. Syukur aku masih ada kekuatan untuk tidak menghampiri 'title' sakit jiwa.
Siang dan malamku telah bertukar. Malamku menjadi siang dan siangku pula menjadi malam. On duty 24 jam menjadikan aku seorang manusia yang tidak tidur malam. Aku tidak pernah gembira menyambut hujung minggu atau cuti umum. Tiada apa yang boleh diraikan untuk menyambut Tahun Baru, Hari Raya Puasa mahupun Hari Raya Haji. Kerana pada hari yang sebegitu indah dan gemilang pun aku tidak dapat bercuti melayan karenah masyarakat yang mempunyai masalah. Kadang-kadang aku sudah terlupa akan hari itu dan lebih teruk lagi perkiraan tahun masihi atau hijrahku menjadi huru-hara.
Perkara paling teruk aku dihantui oleh phobia baru yang pelik. Phonephobia!
Apabila mendengar bunyi deringan telefon aku menjadi takut dan menjadi resah. Hal yang demikian menjadikan tahap stressku berada di bawah takat beku dan di atas takat didih. Stress memang tersangat stress. Membayangkan kes seteruk mana lagi yang harus aku siasat.
Phobia ini terbawa-bawa sehingga waktu cuti sekalipun. Asal sahaja bunyi telefon berdering aku sentiasa teringat yang aku on. Ringing Toneku juga sering bertukar, kerana aku menjadi benci dan jemu pada ringtone tersebut apabila ia berbunyi hampir 24 jam.
Satu fakta yang benar, boleh dikatakan setiap beberapa bulan sekali handphoneku akan bertukar. Bukan disebabkan aku bosan dengan handphone atau aku berminat dengan handphone yang lebih canggih tapi disebabkan handphone tidak tahan dengan deringan telefon yang bertalu-talu, handphone jadi 'hang', bateri 'kong' dan banyak lagi penyakit handphone yang boleh kita sebutkan. Setiap hari tidak pernah sunyi dari deringan telefon. Dengan maklum kes, Dengan Okt yang tamat reman, Dengan I.P bicara yang masih belum ada tindakan, Dengan first submission I.P yang belum dibuat, Dengan repot yang belum dibuat perbuatan, Dengan panggilan untuk hadir meeting yang secara tiba-tiba semasa kita baru selesai on, Dengan pengadu yang tidak pernah faham akan waktu rehat, dan yang lebih menyakitkan lagi panggilan daripada IPK atau BUKIT AMAN yang menelefon semata-mata untuk memarahi kita kerana tidak pandai buat siasatan. Amat menyedihkan kalau orang yang satu uniform dengan kita tidak dapat memahami keadaan kita yang duduk di daerah. Mereka lebih percaya kepada pengadu daripada rakan sepasukan sendiri. Marah tanpa usul periksa. Mengatakan kita tidak ambil tindakan dan sesuka hati melabel kita tidak pandai menyiasat.
Bukan sekali dua pengadu turun naik mengadu ke Bukit Aman pasal I.P yang aku buka. Mereka mengatakan aku tidak ambil tindakan dan banyak lagi. Dan Pegawai yang bangang ini pun dengan suci hati percaya akan kata-kata yang tidak mempunyai keterangan yang kukuh. Kalau 'fight' dekat mahkamah pun pasti akan kalah. Aku banyak cerita mengenai ini. Aku simpankan untuk pertemuan yang akan datang.
Siapalah kita ini hanya Seorang Pegawai satu paku yang senantiasa akan berkata 'Yes Sir!'.
Kepada golongan pegawai yang seperti ini aku berani cabar untuk ganti tempat aku selama 1 bulan sahaja. Kalau pegawai ini nanti akan boleh tersenyum selepas tempoh cabaran sebulan. Kalau dia boleh selesaikan cabaran dalam keadaan mata yang tidak sembam, Rambut yang tidak kusut masai dan paling penting muka tidak berubah menjadi 'tenging' aku akan tabik spring selama 24 jam tanpa henti. Aku juga sanggup memberi gajiku selama sebulan. Bercakap memang mudah, tapi untuk menanggung adalah sesuatu yang berbeza.
Berat mata memandang,
Berat lagi bahu memikul...
Melayan karenah manusia memanglah sukar.
Tapi tidaklah sesukar melayan orang yang sakit jiwanya. Orang yang beranggapan polis adalah robot dan semua masalahnya mesti serta wajib polis selesaikan saat itu juga. Orang ini beranggapan hanya dia seorang saja yang ada masalah di dunia.
Dan hujahnya polis makan gaji dari hasil cukai yang di bayar pada kerajaan!
'Hello Bro!' memang polis makan gaji dari cukai yang dibayar oleh rakyat. Tapi adakah gaji yang dibayar itu setimpal apa yang kami tanggung?
Kalau berbicara pasal daerah kecil dan kawasan hulu aku boleh memberikan sokongan seratus peratus, selepas jam 5 petang pintu balai sudah tertutup separuh. Tempat tiada kes, Tidak banyak repot. Tapi untuk daerah yang terletak di dalam Lembah Klang ini adakah sesuatu yang munasabah untuk mengatakan gaji kami adalah setimpal dengan beban tugas kami?
'Hello Bro!' kaji berapa nisbah polis dengan jumlah penduduk. Adakah kekuatan polis yang sedikit boleh menampung jumlah penduduk yang berjuta kali lebih banyak?
Kalaulah polis diberi OT. Pasti kerajaan tidak mampu untuk membayar semua gaji polis!
Aku rasa cukup sampai di sini nukilan yang penuh dengan pelbagai macam perasaan... bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak. Aku cuma membawakan suara-suara yang mana mungkin dapat didengar dan pasti akan dipandang tidak pernah wujud. Bacalah dalam bahasa kalian sendiri. Apapun pandangan kalian itu adalah pilihan kalian dan aku akan senantiasa menghormatinya.
Perbezaan pendapat bukanlah satu bencana, tetapi perbezaan pendapatlah yang akan menjadikan kita lebih sensitif dan menjadikan kita seorang pemikir berbanding menjadi pak turut. Jangan jadi pak turut!
Suatu kenyataan yang amat aku pasti:
"Sebahagian gaji polis adalah untuk menerima makian!"
p/s : ni aku copy dr blog rakan dlm pasukan PDRM ku.. peace no war :)
Comments
Post a Comment